22 Al-Qur’an

Al-Qur’an

Ajaran Islam mempunyai sumber-sumbernya yang tersendiri yang terdiri daripada al-Qur’an, al-Sunnah dan al-Ijmak. Namun ajaran Islam turut memberi ruang untuk manusia menyelidik dan berfikir dengan melakukan ijtihad melalui pelbagai kaedah dalam menangani isu-isu semasa berdasarkan panduan al-Qur’an dan al-Sunnah.

 

Definisi

Al-Qur’an berasal daripada perkataan qara’a’ yang bermaksud membaca. Sementara dari sudut istilah al-Qur’an membawa erti kalam Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. dalam bahasa Arab dan sampai kepada kita secara mutawatir. Ia dikumpulkan dalam satu mashaf yang mulia dengan dimulakan dengan surah al- Fatihah dan diakhiri dengan surah al-Nas dan menjadi ibadat membacanya. Selain itu, al-Qur’an juga mempunyai beberapa nama lain seperti al-Furqan (Pembeza hak dengan batil) al-Zikr (Peringatan), al-Majid (Mulia), al-Huda (Petunjuk), al-Haq (Kebenaran) dan beberapa nama lain.

 

Kaedah diwahyukan al-Qur’an

Al-Qur’an diturunkan secara beransur-ansur dalam kumpulan dan rangkaian ayat melalui perantaran Jibril a.s kepada Nabi Muhammad s.a.w. dalam tempoh 23 tahun iaitu 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah. Setiap kali Rasulullah s.a.w. menerima ayat-ayat tersebut, baginda bersungguh-sungguh menghafaz dan kemudian membacakan kepada para sahabat. Terdapat beberapa hikmat mengapa al-Qur’an diwahyukan secara berperingkat-peringkat. Antara hikmatnya ialah:

1. Untuk menenangkan jiwa Rasulullah s.a.w. apabila baginda menghadapi tekanan yang sangat kuat daripada musuhnya.

2. Sebagai jawapan kepada masalah dan persoalan baru yang timbul.

3. Memberi peluang kepada perlaksanaan hukum-hakam secara berperingkatperingkat.

4. Memudahkan para sahabat memahami, mengingati dan melaksanakan perintah yang terkandung dalam al-Qur’an.

 

Aktiviti 1.11
Soalan kepada aktiviti 1.11

 

 

 

 

 

 

Isi kandungan al-Qur’an

Al-Qur’an merupakan wahyu Ilahi dan sumber utama ajaran Islam. Dengan itu, ia semestinya merupakan satu teks yang sangat lengkap dan sempurna. Ia menyentuh semua aspek kehidupan manusia. Namun secara umumnya, kandungan al-Qur’an dapat dibahagikan kepada tiga komponen utama iaitu:

1. I’tikadiyyah – iaitu ayat-ayat yang berkaitan dengan akidah yang wajib diimani seperti keimanan kepada Allah, malaikat, kitab, para rasul, hari akhirat dan perkara lain-lain yang ghaybiyyat dan sam’iyyat.

2. Akhlakiyyah – iaitu ayat-ayat yang berkaitan dengan tingkah laku dan kewajipan mukallaf menghiasi diri dengan sifat-sifat yang terpuji dan menjauhkan diri daripada sifat yang tercela.

3. ‘Amaliyyah – iaitu ayat-ayat yang berkaitan dengan segala bentuk perbuatan manusia dalam konteks hubungannya dengan Allah s.w.t. dan juga hubungan sesama makhluk. Hukum ‘amaliyyah ini boleh dibahagikan kepada empat bahagian yang utama pula iaitu, ibadat, munakahat, jinayat dan muamalat. Manakala muamalat pula boleh dibahagikan kepada tiga sektor utama iaitu politik (siyasi), ekonomi (iktisadi) dan sosial (ijtima’i).

4. Selain itu al-Qur’an juga tidak ketinggalan dalam membicarakan soal-soal ilmu moden seperti sains, sosiologi, psikologi, sejarah, politik dan ekonomi sebagai tanda kebesaran Allah Yang Maha Mengetahui.

Kesemua perkara yang disebutkan secara umum di atas sememangnya disentuh oleh al-Qur’an. Kerana itulah al-Qur’an dikatakan sebagai kitab Allah yang sempurna dan lengkap. Bagaimanapun kadar dan jumlah ayat yang mengajar tentang perkara-perkara di atas berbeza-beza. Ada yang disentuh secara terperinci dan tepat oleh al-Qur’an terutamanya dalam bidang ibadat dan jinayat dan ada pula yang disentuh secara umum sahaja terutamanya dalam bidang muamalat (politik, ekonomi dan sosial). Perbezaan ini berlaku kerana keperluan dan untuk kebaikan manusia juga. Dalam bidang ibadat dan jenayah, ia tidak akan menerima sebarang perubahan walaupun berlaku perubahan zaman dan kehidupan. Kerana itu ia dijelaskan secara terperinci dan tepat. Manakala bidang muamalat boleh menerima perubahan berdasarkan dinamisme kehidupan dan pencapaian akal dan tamadun manusia. Dengan itu manusia boleh menjalani sistem dan kaedah muamalat yang bersesuaian dengan zaman mereka selama berada atas landasan prinsip-prinsip umum yang digariskan dalam al-Qur’an.

 

Aktiviti 1.12
Soalan kepada aktiviti 1.12

Comments are closed.