19 Akhlak

Akhlak

Ilmu akhlak ialah ilmu yang membahaskan tentang tatanilai, hukum-hukum atau prinsip-prinsip tertentu bagi mengenal pasti sifat-sifat keutamaan untuk dihayati dan diamalkan serta mengenal pasti sifat-sifat tercela untuk dijauhi dengan tujuan membersihkan jiwa berasaskan wahyu Ilahi bagi mencapai keredaannya.

Manakala akhlak Islam pula didefinisikan sebagai satu sifat atau sikap keperibadian yang membentuk kehidupan yang sempurna berdasarkan prinsip-prinsip yang ditetapkan oleh Allah s.w.t.

Dalam konteks inilah, akhlak yang dikehendaki dalam Islam itu berbeza daripada konsep moral atau etika yang dicipta oleh manusia. Ini kerana kedua-duanya itu lebih menekankan kepada aspek tindakan dan tingkah laku lahiriah manusia dalam hubungan sesama manusia berdasarkan kepada pemikiran dan pandangan umum sesuatu kumpulan masyarakat pada sesuatu masa dan sesuatu tempat yang tertentu.

Nilai moral dan etika bersifat relatif, subjektif dan temporal – berubah-ubah mengikut lingkungan pemikiran, suasana dan tempat. Manakala akhlak Islam lebih bersifat menyeluruh dari segi luaran dan dalaman, zahir dan batin. Ia berasaskan kepada nilai-nilai mulia yang tetap, pasti dan tidak berubah-ubah serta bersumberkan kepada wahyu. Bagaimanapun, perubahan dan perbezaan dinamik masyarakat turut diambil kira dalam sistem akhlak Islam selagi ia tidak bercanggah dengan sumber wahyu.

 

Kedudukan akhlak dalam Islam

Kedudukan akhlak dalam Islam boleh dilihat dalam beberapa aspek seperti berikut:

1. Akhlak merupakan satu dari komponen asas Islam selain akidah dan syariah. Ini menggambarkan kedudukannya yang sangat penting sebagai salah satu daripada tunjang Islam itu sendiri.

2. Berbanding dengan komponen yang lain, akhlak boleh dianggap sebagai buah. Pegangan akidah yang sahih dan kuat disertai dengan penghayatan amaliyyah yang komited akan menghasilkan buah yang manis dan harum, dan begitu juga sebaliknya.

3. Akhlak berkait rapat dengan aspek kejiwaan dan dalaman manusia. Aspek dalaman merupakan asas bagi penilaian manusia di sisi Allah s.w.t. Ianya berkaitan mengenai hati dan juga yang berkaitan dengannya.

4. Pengutusan Rasulullah s.a.w. ke alam ini bertujuan untuk menanamkan kemuliaan akhlak daripada kalangan manusia yang sebelumnya hidup tanpa satu sistem akhlak yang adil, universal dan saksama.

 

Dimensi akhlak dalam Islam

Akhlak yang dituntut oleh Islam bersifat menyeluruh dan mencakupi segenap segi hubungan dalam kehidupan manusia seperti berikut:

1. Akhlak dengan Allah s.w.t. dan Rasul-Nya

Akhlak dengan Allah dan Rasul-Nya bermakna menumpukan sepenuhnya ketakwaan, keimanan, kepatuhan dan keikhlasan kepada Allah s.w.t. dalam segenap aktiviti kehidupan. Tuntutan mentaati Allah s.w.t. dan Rasul-Nya merupakan tuntutan yang asasi yang banyak ditekankan oleh al-Qur’an dan al-Hadith. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Dan tidak diperintahkan mereka itu (segala manusia) melainkan untuk beribadat kepada Allah dengan penuh keikhlasan bag-iNya.

(Surah al-Bayyinah: 5)

Akhlak dengan Allah juga menuntut kita sentiasa mensyukuri nikmat yang dikurniakan Allah s.w.t. Mensyukuri nikmat Allah ialah dengan cara mentaati perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Berkatalah (Sulaiman) ini adalah anugerah Tuhanku untuk mengujiku sama ada aku bersyukur atau ingkar …

(Surah al-Naml: 40)

 

 2. Akhlak dengan diri sendiri

Akhlak dengan diri sendiri menuntut manusia menunaikan hak-hak dan tuntutan dirinya seperti yang ditetapkan oleh Allah s.w.t. sama ada melalui peraturan syariahnya atau peraturan tabi’i kejadiannya sendiri dari segi jasmani, rohani, intelek dan emosi. Maksud firman Allah s.w.t.:

… dan jangan kamu campakkan dirimu dalam kebinasaan …

(Surah al-Baqarah: 195)

Sabda Rasulullah s.a.w.:

Sesungguhnya bagi dirimu ke atas kamu ada hak, dan bagi ahli keluargamu ke atas mu ada hak, maka tunaikanlah hak bagi setiap yang berhak.

(HR. Bukhari)

 

3. Akhlak dengan manusia lain

Berakhlak dengan manusia lain menuntut seseorang individu agar mempunyai perasaan dan bertingkah laku sewajarnya terhadap manusia lain berdasarkan kedudukan mereka. Dalam hal ini manusia lain terdiri daripada beberapa peringkat seperti berikut:

a. Ibu bapa

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

… dan Allah telah wajibkan agar kamu tidak beribadat melainkan kepada- Nya dan dengan kedua ibu bapa hendaklah berbuat baik …

(Surah al-Isra’ : 23)

 

b. Tanggungan

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Wahai orang yang beriman, peliharalah dirimu dan ahli keluargamu daripada api neraka.

(Surah al-Tahrim: 6)

Sabda Rasulullah s.a.w.:

Perintahlah anakmu sembahyang ketika berumur tujuh tahun, rotankan ketika berumur sepuluh tahun dan pisahkanlah tempat tidur mereka.

(HR. Ahmad, Abu Daud dan Hakim)

 

c. Kaum kerabat

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Bukanlah kebaikan itu bahawa kamu menghadapkan mukamu ke arah timur atau barat tetapi kebaikan itu ialah sesiapa yang beriman dengan Allah, dan hari akhirat dan malaikat dan kitab dan nabi-nabi dan memberikan harta kepada yang dikasihinya daripada kaum kerabatnya dan anak-anak yatim.

(Surah al-Baqarah: 177)

 

d.  Jiran tetangga

Sabda Rasulullah s.a.w.:

Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah memuliakan jirannya.

(HR.Abu Hurairah)

Sabda Baginda lagi:

Tidak (sempurna) iman seseorang yang tidur dalam kekenyangan sedangkan jirannya dalam kelaparan.

(HR Tabrani)

 

e. Masyarakat

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Sesungguhnya Kami jadikan daripada lelaki dan perempuan dan Kami ciptakan berpuak-puak dan berkabilah supaya kamu dapat saling mengenali.

(Surah al-Hujurat: 13)

 

f. Alam seluruhnya

Alam seluruhnya juga adalah hamba Allah yang sentiasa beribadat kepada-Nya. Firman Allah s.w.t. bermaksud:

… dan tiada sesuatupun (daripada isi langit dan bumi) melainkan semuanya bertasbih dan memuji Allah akan tetapi kamu tidak memahami tasbih mereka.

(Surah al-Isra’: 44)

Oleh kerana itu semua isi kandungan langit dan bumi hendaklah diperlakukan dengan sebaik-baiknya dan dengan ihsan tanpa mendatangkan kemusnahan dan kerosakan. Malah, Rasulullah s.a.w. diutus oleh Allah s.w.t. untuk membawa rahmat ke seluruh alam, bukan khusus untuk manusia sahaja. Firman Allah s.w.t. bermaksud:

… dan tidak Kami utuskan kamu melainkan untuk membawa rahmat ke seluruh alam.

(Surah al-Anbiya’: 107)