55 Keunikan dan keistimewaan tamadun Islam

Keunikan dan keistimewaan tamadun Islam

Tamadun Islam mempunyai keunikan dan keistimewaan yang tersendiri kerana ciri-ciri dan sumber tamadun Islam adalah berbeza daripada tamadun-tamadun lain yang wujud sepanjang sejarah ketamadunan manusia.

 

Ciri-ciri tamadun Islam

Pada asasnya tamadun Islam mempunyai ciri-ciri universal yang dimiliki oleh tamadun lain di dunia. Namun begitu tamadun Islam turut memiliki ciri-ciri khusus yang memberikan warnanya yang tersendiri dan membezakannya daripada tamadun-tamadun lain.

 

1. Ciri-ciri universal tamadun Islam

Tamadun Islam juga turut berkongsi beberapa aspek persamaan dengan tamadun-tamadun lain. Antara ciri-ciri universal tamadun Islam adalah seperti berikut:

a. Perbandaran

b. Revolusi pertanian

c. Sistem pemerintahan dan pentadbiran

d. Perkembangan perdagangan

e. Sistem tulisan

Ciri-ciri yang dinyatakan di atas adalah ciri-ciri universal yang ada pada semua tamadun di dunia ini. Walaupun tamadun Islam telah mencapai kemajuan yang amat pesat dalam pelbagai bidang termasuk sains dan teknologi, bahasa, seni, geografi, sejarah, politik, ekonomi, pendidikan, sastera dan lain-lain lagi, namum kemajuan ini adalah hasil tamadun Islam menerima pakai pencapaian tamadun lain serta turut berkongsi pencapaiannya dengan tamadun lain. Sungguhpun begitu, tamadun Islam juga ada ciri-ciri khusus yang membezakannya daripada tamadun lain.

 

2. Ciri-ciri khusus tamadun Islam

Ciri-ciri khusus tamadun Islam adalah seperti berikut :

a. Tamadun Islam bersifat kewahyuan.

b. Al-Qur’an dan Al-Sunnah menjadi rujukan utama tamadun Islam.

c. Tamadun Islam mengimbangi antara kehidupan di dunia dan di akhirat.

d. Tamadun Islam mempunyai kesepaduan antara jasmani dan rohani.

Dengan memiliki ciri-ciri khusus ini, tamadun Islam boleh dianggap sebagai tamadun yang tersendiri. Ia begitu berbeza dari segi sifat, sumber, skop dan skala masa dengan tamadun lain walaupun terdapat persamaan dari segi ciri-ciri universalnya. Bincangkan bersama tutor anda, bilakah bermulanya tamadun Islam?

 

Peringatan
Walaupun tamadun Islam mengambil, menghadam serta menilai secara kritis hasil tamadun lain, namun ia tetap mengekalkan ciri-ciri khususnya. Hal ini diakui oleh Muhammad Asad seorang penterjemah dan penafsir Al-Quran: Kita (umat Islam) selalu menerima pengaruh asing tanpa menghancurkan peradaban sendiri.

 

 

Sumber tamadun Islam

Setiap tamadun ada sumber rujukan yang dijadikan panduan dalam usaha membina tamadun itu. Begitu juga dengan tamadun Islam yang dibina dan dicorakkan berdasarkan sumber rujukan yang tertentu. Terdapat dua sumber yang penting dalam pembinaan ramadun Islam iaitu al-Qur’an dan al-Sunnah.

 

Al-Qur’an dan Al-Sunnah

Tamadun Islam bersifat kewahyuan. Sumber tamadun Islam berpaksikan wahyu yang terdapat dalam al-Qur’an dan al-Sunnah. Kedua-dua sumber naqli ini sangat penting kerana berfungsi sebagai pencetus asas-asas binaan tamadun Islam iaitu akidah, syariah dan akhlak.

Tamadun Islam adalah unik dan istimewa kerana ia bukan lahir serta berkembang mekar daripada cetusan idea, budaya dan dorongan hawa nafsu manusia tetapi tamadun Islam dinaungi dan disuluhi di bawah petunjuk dan pedoman al-Qur’an dan al-Sunnah yang merupakan wahyu Allah s.w.t.

Al-Qur’an dan al-Sunnah juga tidak dapat dipisahkan daripada tamadun Islam kerana kedua-dua sumber ini sering menekankan hubungan antara tiga dimensi iaitu Allah, manusia dan alam. Namun begitu, tamadun Islam tidak menolak sumber yang berpandukan akal dan inisiatif manusia yang dikenali sebagai sumber aqli. Dalam konteks ini, tamadun Islam sangat unik dan istimewa kerana ia adalah satu-satunya tamadun di muka bumi yang berjaya mengharmonikan sumber material dan spiritual secara seimbang dan bersepadu sesuai dengan ajaran Islam yang menekankan kehidupan material dan spiritual, dunia dan akhirat. Pendek kata, sumber tamadun Islam yang asasi iaitu al-Qur’an dan al-Sunnah menjadikan tamadun Islam mempunyai makna, ciri-ciri serta keistimewaan yang tersendiri.

 

Faktor-faktor kejayaan tamadun Islam

Tamadun Islam mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelbagai bidang kerana banyak faktor pendorong yang terdapat dalam ajaran Islam dan sumber-sumber asasnya. Antara faktor-faktor tersebut adalah seperti berikut:

 

1. Dorongan daripada semangat Iqra’ (membaca)

Wahyu pertama daripada Allah s.w.t. kepada Nabi Muhammad s.w.t. adalah titik tolak kepada kelahiran tamadun Islam. Tamadun Islam tidak bertitiktolak dari kawasan yang berdekatan dengan sungai sebagai asas kehidupan material seperti tamadun-tamadun lain. Sebaliknya, pencetus kemunculan tamadun Islam adalah atas kewajiban agama dalam menuntut ilmu.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Bacalah, dengan nama Tuhanmu yang menciptakan. Yang mencipta manusia daripada segumpal darah yang beku. Bacalah, dengan nama Tuhan yang memiliki segala Kekuasaan. Yang mengajar (manusia) menggunakan kalam (pena). Yang mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya.

(Surah al-Iqra: 1-5)

 

Menurut Hairudin Harun (1992) dalam bukunya, Daripada Sains Yunani Kepada Sains Islam, kesemua aktiviti ilmiah yang berlaku sepanjang zaman kegemilangan tamadun intelektual Islam adalah cetusan dan dorongan yang bersumberkan perintah al-Iqra dalam al-Qur’an.

Surah al-Iqra’ menjadi pendorong dan membakar semangat umat Islam dalam mencari ilmu. Di sinilah kemungkinan terletaknya rahsia sumbangan umat Islam kepada perkembangan ilmu amnya dan perkembangan sains, khasnya. Surah al-Iqra itu adalah pencetus dan dorongan yang jitu kepada kepentingan menuntut ilmu.

Dorongan dan semangat Iqra’ telah menyedarkan umat Islam kepada peri pentingnya ilmu. Mereka amat menghargai khazanah pengetahuan yang ada pada tamadun semasa dan juga tamadun lampau.

 

2. Ilmu berasaskan tauhid

Ilmu Tauhid adalah ilmu yang membahaskan tentang Allah s.w.t., sifat-sifat yang wajib pada-Nya, sifat-sifat yang boleh disifatkan kepada-Nya, dan sifat-sifat yang sama sekali harus ditiadakan daripada-Nya. Ilmu tauhid iaitu ilmu yang menegaskan hakikat keesaan Allah s.w.t. Tauhid berasal daripada bahasa Arab tawhid yang bererti mengesakan dan meyakini bahawa Allah s.w.t. itu Esa dan tidak ada sekutu bagi-Nya.

Ilmu tauhid bertujuan memantapkan keyakinan dan kepercayaan agama melalui akal fikiran dan kemantapan hati yang dilandaskan wahyu. Ilmu tauhid juga bermatlamat untuk menjaga kepercayaan dan mengukuhkan keimanan supaya tidak wujud sebarang keraguan dalam jiwa manusia. Contohnya, anda wajib mempercayai Rukun Iman dalam Islam. Islam menolak keimanan yang diasaskan atas ikutan semata-mata tanpa ilmu dan kefahaman yang menyokong keimanan tersebut. Di sinilah anda dapat lihat hubung kait antara tauhid dan keperluan ilmu. Keimanan yang sebenarnya tidak mungkin wujud tanpa asas ilmu dan begitu juga ilmu tidak mungkin memberi manfaat tanpa dipandu oleh wahyu. Kesepaduan ilmu dan tauhid inilah yang melonjakkan tamadun Islam dan menjadikannya tamadun yang banyak memberi sumbangan kepada manusia.

Malah, tradisi pemikiran Islam berkembang pesat atas prinsip pembuktian dan dalil-dalil ilmiah yang membenarkan keenam-enam Rukun Iman dengan melibatkan pelbagai disiplin ilmu seperti kosmologi, psikologi dan metafizik. Ahli sains Islam tidak pernah menghadapi sebarang masalah untuk menerima kebenaran ilmu tauhid dan pada masa yang sama menjalankan penyelidikan ilmiah dalam bidang seperti fizik, biologi dan astronomi.

 

3. Panduan al-Qur’an dan al-Sunnah

Kejayaan sesebuah tamadun ditentukan oleh kualiti manusia yang menjadi anggota masyarakat dan umat tersebut. Dalam konteks ini, al-Qur’an dan al-Sunnah banyak memberi dorongan ke arah melahirkan insan yang bertamadun. Kedua-dua sumber tersebut sentiasa menyeru umat Islam untuk mencapai kecemerlangan hidup di dunia dan di akhirat dengan menimba ilmu, berusaha gigih dan menghayati nilai-nilai positif.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Dan pergunakanlah kesempatan dalam kurniaan yang dianugerahkan Allah kepadamu itu untuk keselamatan di akhirat, namun janganlah kamu abaikan bahagian kamu dari kehidupan dunia. Berbuat baiklah sebagaimana Allah telah berbuat kebaikan kepadamu. Lagi pula, janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi kerana Allah tidak menyenangi orang yang suka berbuat kerosakan.

(Surah al-Qashash: 77)

 

Begitu juga sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

Sesiapa yang keluar untuk menuntut ilmu maka dia berjuang fisabilillah sehingga dia kembali.

(HR. al-Termizie)

 

Pendek kata al-Qur’an dan al-Sunnah adalah pencetus dan pendorong yang sangat berkesan dalam membina tamadun Islam yang unggul. Hakikat ini terbukti dalam sejarah tamadun manusia khususnya pada abad ke-6 kerana seluruh tamadun manusia telah rosak dari segi nilai kemanusiaan. Namun, apabila turun al-Qur’an, maka tamadun manusia mendapat satu inspirasi yang baru dengan kemunculan tamadun Islam yang bersumberkan al-Qur’an dan al-Sunnah.

 

4. Keterbukaan dan kreativiti tamadun Islam

Waqar al-Husaini (1985) seorang sarjana menegaskan bahawa sikap terbuka umat Islam terserlah dalam memanfaatkan sumber-sumber tamadun daripada orang Yunani, Romawi, Iskandariah, Syria, Parsi, India dan China. Umat Islam tidak meniru unsur luar tanpa saringan dan tapisan yang wajar. Namun ia tidak bermaksud menghalang umat Islam daripada mengkaji dan meneliti hasil tamadun luar terutama hal-hal yang baru. Malah, Muhammad Asad (1983) menjelaskan bahawa umat Islam selalu menerima pengaruh-pengaruh baru daripada peradaban asing tanpa menghancurkan peradabannya sendiri.

Harun Nasution (1985), seorang ilmuwan dari Indonesia membuktikan bahawa sumber tamadun Islam, iaitu al-Qur’an telah menggesa penggunaan pemikiran yang kreatif dan inovatif. Banyak ayat al-Qur’an menyentuh penggunaan akal fikiran yang sihat seperti merenung (dabbara), mengerti (faqiha) melihat secara abstrak (nazara), berfikir (tafakkar dan aqala). Malah menurut Hasan Langgulung (1986) pula:

a. Alat utama untuk mengkaji alam semesta menurut al-Qur’an ialah pancaindera dan akal. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Allah yang mengeluarkan kamu dari perut ibumu tanpa mengetahui sesuatu. Dia juga menjadikan bagimu pendengaran, penglihatan dan hati.

(Surah al-Nahl: 16 – 78)

 

b. Kita juga belajar melalui pemerhatian dan percubaan yang didukung oleh kuasa (faculty) pemikiran seperti firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Katalah: Berjalanlah di bumi dan lihatlah bagaimana Dia mencipta makhluk pertama.

(Surah al-Ankabut: 29 – 30)

 

c. Untuk menganggapi tanda-tanda Allah dalam alam ini, seseorang itu harus mempunyai akal (intellect) dan pemikiran (reflection) seperti firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Sesungguhnya pada penciptaan langit dan bumi dan perbezaan malam dan siang merupakan tanda-tanda bagi orang berakal. Orang mengingati Allah sambil berdiri, duduk atau sedang baring dan memikirkan penciptaan langit dan bumi.

(Surah al-Imran: 190 – 191)

 
 

Aktiviti 2.3
Soalan kepada aktiviti 2.3 Cadangan jawapan untuk aktiviti 2.3

Comments are closed.