77 Kesusasteraan dan persuratan

Kesusasteraan dan persuratan

Al-Qur’an merupakan sumber utama seni kesusasteraan Islam. Malah al-Qur’an diwahyukan dengan nilai kesusasteraan dan estetika yang tinggi tanpa boleh ditandingi oleh sesiapapun sepanjang zaman. Justeru, tidak hairanlah masyarakat Arab jahiliyyah yang tersohor sebagai masyarakat yang mahir bersastera dan sering menganjurkan pelbagai sayembara sastera saban tahun tidak mampu menandingi keindahan al-Qur’an.

Al-Qur’an yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. bukanlah sebuah karya sastera kerana sastera merupakan karya yang indah hasil ciptaan manusia. Namun begitu, al-Qur’an sukar ditandingi atau ditiru gaya bahasanya, sementara unsur-unsur keindahannya mudah menarik perhatian dan dapat dinikmati. Bahkan, al-Qur’an mengatasi segala keindahan hasil-hasil sastera buatan manusia keseluruhannya.

Al-Qur’an disampaikan dalam bahasa Arab yang amat halus, mempunyai kelembutan puisi dan bahasa prosa bersajak yang dapat dirasakan oleh jiwa yang suci bersih dan penuh khusyuk dan tawaduk. Ia menggerakkan jiwa untuk mengenali rahsia-rahsia kewujudan diri dan membawa akal merenung taraf kesucian alam rohaniah.

Keunggulan al-Qur’an juga boleh dilihat daripada segi kebenaran isi kandungannya dan kesyumulannya. Ini semua menunjukkan bahawa al-Qur’an merupakan wahyu Allah yang menyampaikan mesej kebenaran melalui keindahan bahasa dan sasteranya yang unggul.

Secara umumnya, perkembangan seni kesusasteraan dan persuratan Arab yang menjadi latar belakang kepada seni kesusasteraan dan persuratan Islam ini boleh dibahagikan kepada beberapa fasa. Antaranya ialah zaman sebelum Islam, zaman Rasulullah s.a.w., zaman Khulafah al-Rasyidin, zaman Umaiyah, zaman Andalusia (Sepanyol) serta zaman Abbasiyah.

 

Zaman sebelum Islam (PraIslam)

Puisi Arab sebelum Islam merupakan satu seni yang berkembang maju. Puisi terawal dalam bentuk yang dinamakan razaj wujud pada tarikh seawal kurun ke-6M lagi. Puisi pada zaman ini bukanlah pengucapan peribadi atau individu, tetapi ia merupakan ucapan bersama-sama masyarakat dan ucapan keagamaan. Manakala hasil-hasil karya perseorangan ataupun karangan yang mewakili ideologi diberi nama diwan.

Qasidah asalnya dalam bentuk puisi Arab yang telah mencapai kematangannya pada zaman praIslam. Puisi jenis ini mengandungi 50 – 100 baris. Pada zaman praIslam, ia disampaikan dengan iringan muzik. Dalam qasidah, biasanya penyair Arab membicarakan pelbagai persoalan tentang kehidupan di padang pasir. Ia merupakan satu bentuk puisi Arab yang diminati sehingga sekarang.

Bentuk prosa ataupun ayyam pula menceritakan tentang perhubungan antara sukusuku kaum Arab, persahabatan atau permusuhan antara mereka. Perjalanan cerita teratur dalam skema yang tetap.

Pada umumnya tema-tema utama hasil-hasil kesusasteraan Arab Jahiliyyah adalah berkisar sekitar penyembahan berhala, wanita, arak, judi, peperangan, sentimen kekabilahan, pemujaan kepada ketua dan sebagainya.

Ciri-ciri qasidah

  • Mengandungi bahagian yang menyentuh topik-topik tertentu yang tetap tanpa diubah-ubah.
  • Dimulakan dengan nasib (bahagian pengenalan) yang berkisar dengan ingatan lama dan mengharukan tentang masa silam.
  • Terdapat unsur fakhr (puji-pujian atau bangga diri) mengenai gambaran yang halus tentang konsep wira Arab yang unggul.

 

Zaman Rasulullah s.a.w.

Oleh kerana kesusasteraan merupakan satu daripada unsur kebudayaan yang penting bagi masyarakat Arab sebelum kedatangan Islam, maka unsur ini terus kekal selepas kedatangan Islam. Bagaimanapun ia mengalami perubahan besar dari segi falsafah, matlamat dan juga tema-temanya.

Pada zaman awal Islam, orang Islam tidak sahaja menerima serangan daripada orang Musyrikin dalam bentuk fizikal dan ketenteraan, malahan mereka turut dihujani serangan-serangan melalui pengucapan seni yang berbentuk puisi. Dengan itu, mereka membalas serangan-serangan tersebut dalam bentuk syair dan puisi. Maka lahirlah penyair dan pemuisi Islam yang handal bagi membalas serangan Musyrikin tersebut. Antara sasterawan Muslim yang bertindak sebagai benteng untuk menangkis serangan tersebut ialah Hassan ibn Thabit, Ka‘ab ibn Malik dan Abdullah ibn Rawahah.

Apabila kita membincang tentang puisi Islam, maka perkara paling penting yang perlu disorot ialah takrifan puisi Islam itu sendiri. Dr. Haji Hashim Haji Abd. Hamid, Pengarah Akademi Pengajian Brunei, Universiti Brunei Darussalam dalam kertas kerjanya yang berjudul Puisi Islam: Saranan Dakwah dan Ukhuwah Islamiah, mendefinisikan puisi Islam (sama ada puisi lama atau baru) sebagai puisi atau sajak yang mengajak manusia ke arah kebaikan di dunia dan di akhirat. Dengan kata lain, puisi Islam adalah pengucapan indah yang mendendangkan/ menyuarakan/ mengajar/menganjurkan amar makruf dan nahi mungkar.

 

Ciri-ciri puisi Islam

  • Puisi mestilah ditulis oleh orang Islam yang benar-benar tahu bahawa mereka adalah khalifah di atas muka bumi.
  • Puisi tersebut mestilah mendorong manusia untuk melakukan amar makruf dan nahi mungkar.
  • Puisi mestilah mendorong manusia untuk menegakkan yang halal, benar dan mengharamkan yang batil/haram.
  • Puisi itu mestilah menegakkan ajaran Allah.
  • Puisi mestilah mendorong lahirnya masyarakat yang adil dan makmur.
  • Puisi mestilah mengesan bahawa orang jahat tidak ada jalan untuk hidup.

Sumber: http://www.esastera.com/nimoiz/artikel.htm

 

Karya sastera Islam yang berbentuk prosa berkembang dalam peradaban Islam sesuai dengan proses penurunan al-Qur’an dan menjadi semakin matang dengan lengkapnya keseluruhan al-Qur’an. Penggunaan cerita-cerita dalam al-Qur’an turut dijadikan media dakwah sejak zaman Bani Umaiyah lagi. Antara mereka yang berdakwah mengunakan cerita ialah Hassan al-Basri, Tamim al-Dari, Thawus ibn Kaisan dan lain-lain lagi.

 

Zaman Khulafah al-Rasyidin

Era ini merupakan kesinambungan era Rasulullah s.a.w. Justeru, semua bentuk seni kesusasteraan yang wujud pada zaman Rasulullah s.a.w. seperti puisi dan prosa terus berkembang pada zaman ini. Usaha penyebaran dakwah Islam dan pembukaan daerah-daerah baru dipergiatkan dan dengan itu seni kesusasteraan sebagai satu mekanisme dakwah dan jihad juga meningkat dengan sendirinya.

Dalam era ini lahirlah penyair-penyair handal yang meniupkan semangat jihad kepada tentera Islam. Nama-nama yang terkenal dalam bidang ini seperti Qais al-Maksyuh al-Muradi, Basyar bin Rubi’al, Amr bin Mukadyakruh al-Zabidi dan al-Qa’qa bin Amr al-Tamimi adalah tidak asing lagi dalam gubahan syair yang meniupkan semangat jihad ini.

Semua Khulafah al-Rasyidin amat meminati syair. Malah, mereka sendiri turut menghasilkan karya yang mengagumkan seperti yang terdapat di dalam kitab Sirah Ibn Hisyam, Sirah Ibn Ishaq dan sebagainya.

 

Zaman Bani Umaiyah

Secara umumnya kerajaan Bani Umaiyah terus mengekalkan kesinambungan perkembangan seni kesusasteraan Islam seperti yang telah diasaskan pada era Rasulullah s.a.w. dan era Khulafah al-Rasyidin. Genre sastera yang telah sedia ada terus berkembang seperti puisi, syair, prosa dan sebagainya. Namun oleh sebab perkembangan dan perubahan latar belakang sosiopolitik pada masa itu, maka tema-tema sastera juga mengalami sedikit perubahan. Pada ketika itu mula lahir tema-tema yang berbentuk permusuhan kabilah, pemujaan kepada pemerintah dan tema lain yang tidak sesuai dengan falsafah seni kesusasteraan Islam.

Walaubagaimanapun ini bukanlah senario utama yang mewarnai suasana dunia kesusasteraan Islam pada masa itu. Malah, sebahagian sasterawan yang bertanggungjawab melahirkan unsur-unsur buruk ini sebenarnya bukan sasterawan Islam. Umpamanya, seorang penyair terkenal pada ketika itu iaitu al-Akhtal merupakan seorang yang beragama Kristian. Beliau antara orang yang bertanggungjawab menghidupkan tema pemujaan keterlaluan kepada pemerintah khususnya Bani Umaiyah pada ketika itu untuk kepentingan peribadinya. Beliau juga banyak menghasilkan syair yang bertemakan pemujaan kepada arak dan maksiat. Dengan ini tentulah hasil sastera seperti ini tidak termasuk dalam kategori kesusasteraan Islam.

Pada umumnya kesusasteraan Islam yang sebenarnya pada zaman Bani Umaiyah masih lagi terpelihara walaupun terdapat unsur-unsur yang kurang baik. Malah pada era ini juga mula bertapaknya satu lagi genre sastera baru yang penting dalam sejarah tamadun Islam iaitu penulisan sejarah dan biografi oleh tokoh-tokoh sejarah seperti Ibn Ishaq, Wahab ibn Munabbih, ‘Urwah ibn al-Zubair dan sebagainya.

 

Zaman Andalusia (Sepanyol)

Kesusasteraan Islam telah mengalami perubahan pada zaman Andalusia. Dalam genre syair umpamanya, tema-tema seperti kehidupan di kota dan hubungan romantis telah muncul. Menjelang abad ke-11M dan ke-12M, satu tema baru telah lahir iaitu nostalgia atau kenangan dan ianya berkembang dengan pesat sekali. Hal ini berlaku atas semangat cinta akan negara asal mereka sama ada di semenanjung Tanah Arab atau di Afrika Utara.

Tema percintaan, arak, jenaka dan cinta pada keindahan alam semula jadi akhirnya berkembang dengan meluas kerana perkembangan tamadun dan cara hidup kota yang penuh dengan kemewahan. Selain itu, apabila orang Islam mengalami kekalahan dalam beberapa pertempuran dengan orang Kristian dan mula kehilangan beberapa wilayah di tangan Kristian, lahirlah pula tema-tema yang meratapi kehilangan wilayah dan meniupkan semangat untuk kembali merampasnya.

Pada masa ini juga lahir beberapa hasil karya dalam bentuk novel dan penulisanpenulisan yang membincangkan tema-tema yang serius berbentuk ilmiah seperti falsafah, kemanusiaan, peranan akal dan sebagainya seperti yang dihasilkan oleh Ibn Tufail dengan kitab Qissah hayy ibn Yaqzan.

 

Zaman Bani Abbasiyyah

Hasil seni kesusasteraan pada zaman ini juga tidak dapat lari daripada ikatan suasana sosiopolitik pada masa itu. Pada zaman ini, suasana sosiopolitik sedang meruncing kerana berlakunya banyak pemberontakan yang berasaskan perkauman dan bangsa, maka sebahagian genre sastera turut terpalit dengan senario ini. Dengan ini lahirlah umpamanya puisi-puisi yang bertemakan suasana perbandaran di Baghdad dan kota raya yang lain. Pada masa ini juga pengaruh kesusasteraan Parsi mula meresapi kesusasteraan Arab.

Selain itu, karya sastera dalam bentuk prosa khususnya hasil-hasil karya dalam bentuk novel dan buku-buku ilmiah berkembang dengan pesat. Sebahagian besarnya adalah kerana hasil galakan pemerintah Bani Abbasiyah. Pemerintah telah membina Bait al-Hikmah yang menjadi pusat tumpuan golongan cerdik pandai untuk mengembangkan potensi sastera mereka. Pada era inilah lahirnya karya-karya yang masih lagi masyhur di seluruh dunia sehingga ke hari ini seperti Kalilah wa Daminah oleh Ibn al-Muqaffa’, alf laylah wa laylah (Hikayat Seribu Satu Malam) dan lain-lain.

Kesimpulannya, seni kesusasteraan merupakan satu daripada cabang seni yang penting dalam Islam. Al-Qur’an merupakan sumber dan asas utama bagi seni sastera Islam. Kesusasteraan Islam mula berkembang dari al-Qur’an dan ia menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat Islam terutamanya dalam usaha menyebarkan dakwah Islamiyah. Namun begitu ia turut berubah dan terpalit dengan segala bentuk perubahan dan kerencaman suasana kehidupan sosiopolitik masyarakat Islam di sepanjang sejarah kehidupan mereka. Namun prinsipnya tetap kekal bahawa seni kesusasteraan adalah sesuatu yang mesti dimanfaatkan sebaik mungkin untuk menyuburkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah s.w.t.

 

Comments are closed.